February 24, 2024

BN Kedah saran guna saluran rundingan selesai isu Kedah-Pulau Pinang

2 min read

Kerajaan negeri Kedah disaran menggunakan kaedah rundingan bagi menyelesaikan isu dengan negeri Pulau Pinang.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata, dakwaan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Pulau Pinang milik Kedah adalah berpunca daripada tuntutan caj air mentah ke atas negeri jirannya yang sudah berlarutan sekian lama.

“Ya saya fikir dia hanya bermula daripada bekalan air, sumber bekalan air dari Kedah yang pergi ke Pulau Pinang.

“Air tu daripada hulu Kedah mengalir (melalui) Sungai Muda yang hujungnya ada sempadan antara Kedah dan Pulau Pinang, itu yang jadi pertikaian yang panjang dan sudah lama.

“Jadi saya fikir paling baik sekali adalah bawa berunding untuk menyelesaikan (isu) antara Pulau Pinang dan negeri Kedah.

“Saya ingat sandaran yang Menteri Besar pakai itu mungkin atas bayaran (pajakan) yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kedah dan bukan kerajaan Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke- 7, Pertubuhan Kami Anak Felda (KAF) Wilayah Alor Setar, di Dewan Felda Lubuk Merbau di Kuala Nerang, Kedah semalam.

Jelas Mahdzir yang juga bekas Menteri Besar Kedah, tuntutan caj air mentah terhadap Pulau Pinang juga pernah dibangkitkan ketika beliau menjawat jawatan itu.

Bagaimanapun katanya pendekatan ketika itu adalah berbeza apabila pihaknya mengadakan rundingan.

“Cara kita bangkit pada waktu itu kita duduk di meja, kita berunding, ada yang boleh diberi perhatian dan ada benda yang dia ada pro and cons lah, bila kita buat analisa kita dapati ada juga perkara yang kemungkinan kita tak dapat…,” katanya.

Pada 2021, media melaporkan kerajaan Kedah menuntut bayaran royalti pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta daripada Kerajaan Persekutuan selepas ia tidak pernah dinilai semula sejak tahun 1786.

Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, ketika ini kerajaan negeri hanya menerima bayaran khas sebanyak RM10 juta setahun sejak 2018 dan royalti sebanyak RM10 ribu setahun.

Mengulas mengenai bayaran khas berjumlah RM200 juta kepada Kedah berikutan pengorbanan negeri itu menyumbang keterjaminan makanan negara dan sumber air untuk negeri jiran, Mahdzir berkata tuntutan itu sudah dilakukan sejak zaman pemerintahan bekas menteri besar, Allahyarham Datuk Seri Syed Razak Syed Zain.

“Ketika Allahyarham menjadi Menteri Besar (1999-2005) dituntut supaya satu penilaian mesti dibuat, berapa keluasan padi dan berapa keluasan hutan yang tak boleh ditebang dan (sebab) itu dibuat surat pada waktu itu.

“Kemudian saya menjadi Menteri Besar, saya pun dah buat surat kepada kerajaan Persekutuan, saya ingat bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir pun mungkin pernah buat surat yang sama.

“Jadi bukanlah satu benda baru. tuntutan kepada kerajaan Persekutuan mengenai dengan sawah padi dan juga kawasan hutan (di Kedah) ,” katanya. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *