Iraq setuju bayar hutang gas dan elektrik RM12.73 bilion kepada Iran
2 min read
Iraq bersetuju membayar kira-kira AS$2.76 bilion (RM12.73 bilion) hutang gas dan elektrik kepada Iran selepas menerima pengecualian sekatan daripada Amerika Syarikat (AS), kata seorang pegawai kanan Kementerian Luar Iraq.
Menteri Luar Iraq, Fuad Hussein diberi kebenaran itu ketika pertemuan dengan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken di luar Persidangan Riyadh pada Khamis, kata sumber Kementerian Luar, yang enggan namanya disiarkan berikutan dia tiada kuasa bercakap kepada media, memberitahu Reuters.
Disebabkan konflik dan sekatan selama berdekad-dekad, Iraq bergantung kepada import dari Iran bagi kebanyakan keperluan gasnya.
Bagaimanapun, sekatan AS ke atas minyak dan gas Iran menghalang pembayaran Iraq untuk import, meletakkan negara itu dalam tunggakan tinggi dan menyebabkan Iran bertindak balas dengan memotong aliran gas secara berkala.
Jurucakap Kementerian Luar Iraq, Ahmed Al-Sahhaf dalam kenyataan ringkas, memaklumkan Fuad mencapai kemajuan ‘mengenai bayaran kewangan antara Iraq dan Iran ketika perbincangannya dengan rakan sejawatannya dari AS di Riyadh’ apabila ditanya mengenai dana itu.
Bagaimanapun beliau tidak memberikan butiran lanjut.
Sementara itu, Ketua Dewan Perniagaan Iran-Iraq, dipetik oleh agensi berita Iran, berkata sebahagian daripada dana Iran yang disekat di Iraq diperuntukkan untuk jemaah haji dan terdapat bahagian yang digunakan untuk barangan asas’.
Sumber Kementerian Luar Iraq, berkata dana itu akan dipindahkan melalui Bank Komersial Iraq selain turut mengesahkan wang itu akan digunakan untuk perbelanjaan jemaah haji Iran dan bahan makanan yang diimport oleh Iran.
Iran tidak dapat mengakses aset berbilion dollar di beberapa negara akibat sekatan AS.
AS menegaskan Iraq yang kaya dengan minyak, pengeluar kedua terbesar kumpulan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), bergerak ke arah sara diri sebagai syarat untuk pengecualiannya untuk mengimport tenaga Iran, namun Baghdad juga bergelut untuk berbuat demikian.