February 24, 2024

Lokasi yang tepat dan produk berkualiti kombinasi perniagaan berjaya

4 min read

Pemandangan Menara Kuantan 188 dari stall GTR Burger yang dikendalikan oleh Muhamad Yusri Mohd Yusof di Kuantan, Pahang.- Foto SEPATAH DUA ONLINE.

Tempat yang tepat dan produk yang bagus adalah satu gabungan yang ideal untuk satu perniagaan yang berjaya menambat hati orang ramai.

Dengan lokasi yang dikunjungi ramai orang serta produk yang berkualiti akan memberikan pulangan yang baik kepada perniagaan berkenaan sekaligus membantu peniaga memperoleh pendapatan yang mampu memberi kehidupan lebih baik.

Bayangkan, berniaga burger jalanan yang menjadi kesukaan ramai bertempat pula di lokasi terletaknya menara antara yang terkenal di Malaysia, sudah pasti ia akan lokasi hot untuk orang ramai.

Staller GTR Burger yang berniaga di kaki Menara Kuantan 188 Muhamad Yusri Aiman Mohd Yusof pada setiap kali berniaga dikunjungi ramai orang khususnya semasa hujung minggu dan musim cuti sekolah.

Kuali burger di stallnya jarang kosong biasanya dipenuhi burger yang dipesan oleh pelanggannya.

Beliau mula berniaga burger jalanan GTR Burger pada 23 September tahun lepas di Cenderawasih, Kuantan, Pahang.

“Selepas beberapa bulan, saya dapat buka lagi satu stall di Indera Mahkota 2, selepas itu ada rezeki simpanan saya berniaga saya beli satu stall yang ke-3 yang terletak di Jalan Besar, Kuantan dekat dengan menara,” katanya.

Pernah Catat Jualan Cecah RM10,500

Muhamad Yusri berkata untuk jualan tertinggi bulanan yang pernah dicapai ialah RM10,500, manakala purata jualan harian yang diperoleh ialah kira-kira RM300 hingga RM500 dan jika cuaca hujan kutipan jualan masih baik kerana peminat burger sebenarnya ramai.

Jualan tertinggi harian yang pernah berjaya dicapai oleh stall milik Yusri ialah RM1,042 di stall Menara Kuantan 188.

Muhamad Yusri begitu ceria setiap hari berniaga dan sentiasa berkomunikasi dengan para pengunjung yang datang di kawasan menara berkenaan. – Foto SEPATAH DUA ONLINE.

“Menu GTR Burger yang paling diminati peminat burger di stall Menara 188 ialah dari pilihan Smokey Burger iaitu Smokey Kambing, Smokey Ayam dan Smokey Daging,” katanya.

Bercakap tentang cabaran sebagai seorang peniaga burger, Muhamad Yusri berkata kejayaan bergantung kepada kekuatan diri seorang staller itu sendiri ditambah dengan ilmu yang diberi oleh pengurusan GTR Burger.

“Berniaga ini sebenarnya memang keras, kalau kita tak kuat mental memang macam-macam ujian terutamanya diri sendiri, macam mana kita nak lawan malas kita? Kita nak duit tapi kita malas, tak mungkin kita akan dapat kejayaan itu.

“GTR Burger pula ada program pagi-pagi seminggu 3 kali ada Zoom Meeting, dia (GTR Burger) sentiasa berhubung dengan staller-staller untuk memastikan apa yang kurang, apa roadblock yang menghalang, apa masalah yang perlu diselesaikan, GTR Burger akan bantu,” ujar Muhamad Yusri.

GTR Burger Ada Kelainan Tersendiri

Meluahkan apa yang membuatkan beliau pasti untuk pilih GTR Burger ialah jenama itu ada kelainan daripada jenama burger lain.

Sebelum ini, orang ramai sudah biasa dengan nama-nama jenama burger lain yang lebih lama bertapak tetapi GTR Burger ada kelainan dari segi kualiti patty, sos, rasa, mereka ada menu Smokey, wrap dan burger premium Wagyu meletakkan GTR Burger dalam kelasnya tersendiri, menurutnya.

“Apabila pengasas sendiri selalu tunjuk muka dan beri tunjuk ajar sendiri, membuatkan saya sentiasa inginkan ilmu daripada mereka,” katanya.

Muhamad Yusri juga mirip beberapa Staller lain yang sebelum berniaga burger jalanan mereka bekerja dalam industri minyak dan gas di Lumut, Perak di syarikat Sapura Kencana selama beberapa tahun.

Kuali burger di stall GTR Burger Menara 188 jarang kosong dek kerana banyak pesanan dari pelanggan yang datang bersiar-siar sekitar kawasan menara yang juga terletak di tepi Sungai Kuantan. – Foto SEPATAH DUA ONLINE.

Selepas beberapa tahun, ayah beliau sakit jantung membuatkan beliau ambil keputusan untuk pulang ke kampung tetapi masih lagi bekerja.

Ketika negara dilanda COVID-19, dan keadaan ekonomi tidak menentu dengan banyak syarikat membuang pekerja, beliau ambil keputusan untuk berhenti kerja.

“Saya buat keputusan untuk berniaga dan bertemu dengan rakan yang juga berniaga GTR Burger bernama Halim di KotaSAS dan beliau cerita pada saya tentang GTR Burger berkenaan jenama dan sistem membuatkan saya mahu berniaga dengan GTR Burger.

“Mereka mempunyai satu sistem yang well-managed,” katanya yang memulakan perniagaan dengan stall tanpa modal secara perkongsian keuntungan.

Mahu GTR Burger Terus Buka Peluang Bantu Orang Yang Mahu Berniaga

Beliau berharap GTR Burger terus buka peluang dan bantu orang yang mahu berniaga, yang hendak ubah hidup, yang betul-betul hendak cari duit.

“Bagi saya, GTR Burger sudah lengkap dari segi pemberian ilmu, memasak dan berniaga serta buatlah yang terbaik untuk orang yang mahu perbaiki hidup mereka,” katanya.

Kini, sedang tular di seluruh negara ialah GTR Burger Challenge iaitu pertandingan makan burger dengan peserta akan cuba menghabiskan 10 biji GTR Burger dalam masa 15 minit untuk memenangi RM500.

Peserta yang menang pula nanti akan berpeluang untuk menang hadiah wang tunai Grand Finale yang akan diadakan di Lembah Klang dengan menawarkan hadiah RM10,000.

Sudah ada ramai pemenang yang berjaya menyahut cabaran pertandingan berkenaan dan berjaya membawa pulang wang tunai.

Jika anda berminat, anda boleh datang ke mana-mana Stall GTR Burger di seluruh negara dan sahut cabaran GTR Burger Challenge. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *