February 24, 2024

Jemaah Haji Malaysia dari Pahang meninggal dunia di Makkah

2 min read

Seorang jemaah haji berusia 57 tahun meninggal dunia di sini pada 11.50 malam, 4 Jun lalu akibat kegagalan jantung.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, yang memaklumkan perkara itu berkata wanita berasal dari Raub, Pahang, meninggal dunia di Pusat Rawatan Tabung Haji (TH) di Makkah, Arab Saudi.

“Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjidil Haram selepas solat Zuhur dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Syariee, Makkah,” katanya dalam sidang media perkembangan operasi haji di ibu pejabat TH Makkah, Abraj Janadriyah.

Beliau berkata, pihak kaunselor TH melawat suami Allahyarham yang juga berada di Makkah untuk menunaikan haji, selain TH akan menguruskan badal haji untuk Allahyarham.

Selain itu, Syed Saleh berkata ketika ini, 37 jemaah haji Malaysia sedang dirawat di Pusat Rawatan TH di Makkah manakala 10 lagi di Hospital Arab Saudi kerana mengalami masalah pernafasan dan jantung, jangkitan paru-paru, gangguan emosi, sakit kulit, sakit otot dan sendi.

Beliau turut memaklumkan sebanyak 22,800 atau hampir 72% daripada 31,600 jemaah haji negara berada di Makkah sehingga hari ini.

Dalam perkembangan lain, Malaysia menjadi negara pertama yang menyediakan kemudahan mesin juruwang automatik (ATM) di bangunan penginapan jemaah haji.

Syed Saleh yang merasmikan ATM Alinma Bank di Abraj Janadriyyah berkata ia bakal memberikan kemudahan kepada 8,000 jemaah haji Malaysia di bangunan itu dan lokasi sekitar.

Beliau berkata, perkhidmatan kali pertama disediakan hasil rundingan TH dengan Alinma Bank dan Saudi Central Bank itu bagi memudahkan jemaah haji membuat pengeluaran wang tanpa perlu berjalan jauh mencari mesin ATM di kawasan lain.

Katanya, TH akan meneruskan usaha bagi membolehkan perkhidmatan itu disediakan di bangunan-bangunan penginapan lain untuk kemudahan jemaah haji negara.

Menurutnya,TH dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) juga bersetuju untuk setiap transaksi, fi ditanggung BIMB bagi semua jemaah haji Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *