Akan datang, mungkin ramai anak-anak yang ibunya pernah rekod video menari
3 min read
Gambar sekadar hiasan relevan dengan topik yang ditulis.
Waktu malam-malam begini, saya rasa diri seperti ditarik-tarik untuk menulis perihal aksi yang semakin berleluasa di dalam media sosial terutamanya TikTok yang melibatkan kaum perempuan.
Jika otak mengambil masa berfikir sejenak apa kesudahan aksi-aksi ini yang sudah disebut sebagai ‘trend’, nescaya hati akan rasa bimbang kerana ia kelak akan terus merebak dan melarat entah sampai ke tahap mana.
Apa yang ingin disuluh terang di dalam artikel ini ialah tentang aksi perempuan menari di media sosial.
Mungkinkah pada masa akan datang, hampir kebanyakan anak-anak akan ada seorang ibu dan wanita yang sudah pun merakam video menari di media sosial?
Ia tidak mustahil kerana sekarang ini, boleh dikatakan hampir semua kumpulan wanita sudah pun ada rakaman video menari di media sosial.
Gaya tarian pula ada macam-macam, gaya seksi, gaya bergelek, gaya malu-malu dan gaya yang kurang pergerakan tetapi tetap mereka menari.
Kalau kita tengok kembali pada sekitar zaman 50-60an, perempuan yang menari akan diletakkan sebagai satu kumpulan ‘low class’ dan hina kerana kebanyakannya yang menari ialah pekerja kelab malam sebagai peneman lelaki atau pengunjung pusat hiburan.
Jika hendak mencari calon isteri pun, orang tua akan tapis dahulu untuk elakkan anak mereka tersilap kahwin dengan perempuan yang menjalankan pekerjaan seperti itu.
Sekarang, babak itu sudah tidak ada. Ada isteri ajak suami menari sekali, ada isteri menari seorang diri tanpa suami, ibu ajak anak menari, perempuan ajak kawan-kawan menari, ada yang menari di tempat kerja, di rumah dan di khalaya ramai pun ada.
Apa yang dikongsi dan ditempek di internet akan kekal selama-lamanya walaupun ia telah dipadamkan.
Jika ibu, isteri, remaja dan sesiapa sahaja perempuan dok menari sana-sini, sampai perempuan itu dah kerepot jalan menggunakan tongkat sudah bercucu dan bercicit, bahan itu akan kekal di internet dan akan menjadi tontonan orang sehingga akhir dunia ini nanti.
Masa perempuan yang menari itu sudah tua, adakah mereka tidak ada gusar dalam hati apabila nanti cucu dan cicit tahu bahawa anda ligat menari dan video sudah ditonton beribu orang?
Jika mereka tidak berasa apa-apa tak apa kerana mungkin itu yang mereka cari dalam kehidupan.
Bagaimana dengan mereka yang berasa malu nanti apabila apa yang dibuat dulu sudah tidak boleh diubah kembali?
Ke mana arah nilai budaya yang ada dalam hati-hati para wanita sekarang ini?
Jika ada komen dari netizen yang menegur, mereka akan dibenci dan disuruh block kalau tak suka akan kandungan yang ditayangkan.
Ia seperti kata, “aku sedang buat benda tidak baik, berhenti menegur, tak suka sila block aku,” mungkin itulah bunyi cakapnya.
Selama mana aksi sebegini akan berterusan. Bimbang ia makin melarat kerana para suami pun sudah beri galakan kepada para wanita ini menari, para ibu bapa pun beri kebenaran dan apa lagi kawan-kawan?
Para netizen elok terus menegur tanpa bosan kerana mungkin lambat laun ada komen yang akan buka pintu hati mereka supaya berhenti buat kandungan sebegitu rupa lagi.
Lelaki-lelaki nakal pula galak lah dok tengok mereka menari seperti ia seakan kenduri mata menyaksikan bermacam-macam gaya tarian yang dipamerkan.
Beringat, dunia ini makin tidak panjang, tak payah cerita soal dunia, hidup diri sendiri tu pun bukannya lama sangat pun.
Takut tak sempat. – SEPATAH DUA