December 9, 2023

Satu perhimpunan sokong Proklamasi Orang Melayu bakal diadakan bulan depan

2 min read

Satu perhimpunan yang akan melibatkan kira-kira 500 orang peserta akan diadakan pada bulan depan di Sungai Buloh untuk menyuarakan sokongan kepada Proklamasi Orang Melayu yang digerakkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada 18 Jun lepas, satu majlis penerangan ringkas telah diadakan di Pejabat Urusan Pertubuhan Ahli-Ahli Baiah Malaysia di Sungai Buloh, Selangor untuk memberikan penjelasan kepada orang ramai tentang usaha itu untuk menyatupadukan orang Melayu.

Majlis itu diadakan anjuran Presiden Gabungan NGO Malaysia, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah.

Gerakan Proklamasi Orang Melayu kini sedang berusaha untuk mendapatkan 1 juta tandatangan dari rakyat Malaysia berbangsa Melayu untuk dijadikan mesej kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Majlis Raja-Raja Melayu bahawa orang Melayu kini berdepan pelbagai belenggu masalah.

Pengerusi Biro Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu Datuk Seri Khairuddin Abu Hasan berkata kerajaan pada masa kini menyeru supaya bangsa lain bersatu tetapi menghalang usaha orang Melayu untuk menggerakan proklamasi ini untuk menguatkan bangsa mereka.

“Kita hendak kaji apa masalah orang Melayu, apabila kita kaji apa masalah orang Melayu kita hendak cari jalan menyelesaikan masalah orang Melayu, apakah ini salah dari segi undang-undang?

“Anwar Ibrahim (Perdana Menteri) dia larang kita buat Proklamasi Orang Melayu, minggu lepas dia kata kepada MIC orang India kena bersatu padu, orang Cina kena bersatu padu tetapi bila Tun Dr Mahathir Mohamad di bawah Proklamasi Orang Melayu menyatupadukan orang Melayu, Anwar larang,” katanya ketika berucap dalam majlis berkenaan.

Selain itu, beliau berkata Proklamasi Orang Melayu adalah bukan satu gerakan untuk menjatuhkan kerajaan sebaliknya ia hanya memberikan fokus kepada menyelesaikan masalah orang Melayu semata-mata.

Ia juga bukan satu perjuangan peribadi untuk Tun Dr Mahathir tetapi untuk semua orang Melayu, kata Khairuddin.

“Ketika Anwar dilantikn menjadi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir panggil saya, dia kata kepada saya dia kata Din, ingat jangan terlibat dengan mana-mana gerakan untuk hendak jatuhkan kerajaan, apa yang kerajaan buat baik kita sokong apa yang tidak baik kita lawan habis-habisan.

“Jadi, dari mana datangnya, proklamasi ini dikatakan hendak menjatuhkan orang Melayu, bila masa kita bercakap hendak menjatuhkan kerajaan?” kata Khairuddin.

Sementara itu, Pembantu Tun Dr Mahathir Mohamad, Abu Bakar Yahya berkata orang Melayu kini sudah kehilangan kuasa politik di Parlimen kerana jumlah Ahli Parlimen Melayu di dalam kerajaan semakin berkurangan berbanding yang bukan Melayu.

Beliau yakin, Proklamasi Orang Melayu akan berjaya mendapatkan lebih 1 juta tandatangan menyokong gerakan itu. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *