December 9, 2023

Hampir putus asa berniaga, potensi hebat produk burger jalanan ubah kehidupan pasangan ini

4 min read

Potensi sesuatu produk dalam dunia perniagaan amat penting dalam perjalanan masa depan produk berkenaan dalam jangka masa panjang.

Selain itu, maklum balas yang baik terhadap produk juga penting untuk mendapat hasil pulangan yang tinggi dari jualan harian oleh para peniaga produk berkenaan.

Satu jenama burger jalanan di Malaysia, GTR Burger yang cerita mereka bermula tahun 2021, ia dilihat para peniaga yang berniaga burger mereka sebagai satu produk yang amat berpotensi dan boleh mara lebih jauh pada masa depan.

Bagi peniaga GTR Burger di Kampung Kubang Miang, Dungun, Terengganu Badrul Hisham Ali Hanafiah yang mengendalikan stall burger bersama isteri Siti Syafikah Azmi, mereka buat keputusan untuk jual GTR Burger kerana rasa menu GTR Burger Smokey Daging yang ada potensi yang besar.

Sebenarnya, rezeki beliau merasa menu GTR Burger itu merupakan penyelamat kepada kehidupan mereka suami isteri.

Mereka mula berniaga GTR Burger pada bulan September tahun lepas di depan rumah mereka yang dekat dengan jalan utama.

Rasa Juicy Smokey Burger Tambat Hati Mereka Untuk Jual Burger

“Punca saya terlibat dengan GTR Burger atas sebab saya beli GTR Burger Smokey dia yang membuatkan saya rasa produk ini ada potensi untuk pergi jauh kerana rasanya berbeza dengan burger lain yang sedia ada.

“Burger Smokey yang saya suka tu rasa dia lebih kepada juicy, rasa dia unik dengan harga yang berpatutan dan ia sangat sesuai untuk orang ramai menikmatinya,” katanya ketika ditemubual di depan stall mereka di Dungun baru-baru ini.

Menyentuh tentang jualan harian, Siti Syafikah berkata ada ketika beberapa kali mereka berjaya merekodkan jualan RM700 ke RM900 satu hari dengan pulangan jualan bulanan mencecah RM10,000 dan mendapat pendapatan bersih sekitar RM3,000 ke RM4,000.

Badrul berkata selera pelanggan di kampung mereka agak unik kerana kerap mereka membuat pesanan burger dengan bermacam-macam jenis tambahan bahan untuk menikmati burger kegemaran mereka.

“Paling banyak dipesan di sini ialah Burger Smokey, ada yang order Smokey sampai double, tambah telur pula, tambah cheese double, memang hebatlah cara dia makan dan ada pernah dapat pesanan Smokey triple dengan double telur dan cheese, ia melibatkan patty ayam, daging dan kambing,” katanya.

Badrul Hisham Ali Hanafiah menguruskan stall GTR Burger Kampung Kubang Miang di Dungun, Terengganu bersama isterinya Siti Syafikah Azmi di hadapan rumah mereka. – Foto SEPATAH DUA ONLINE.

Siti Syafikah berkata sepanjang mereka berniaga GTR Burger, pihak pengurusan banyak mengadakan kelas melalui Zoom dan di setiap kelas banyak ilmu yang diberikan.

Dengan ilmu berkenaan serta perkongsian cerita dari staller-staller lain, membuatkan pasangan itu berasa seronok dan menganggap masalah sebagai satu cabaran.

“Tiada istilah untuk patah semangat, jika pada waktu sales agak rendah kami masih seronok dan kami akan mengadakan pelbagai promosi untuk tarik pelanggan.

“Biasanya kami akan letakkan promosi di dalam aplikasi Whatsapp untuk dihantar kepada pelanggan seorang demi seorang kerana kami ada butiran peribadi mereka selepas membeli burger dengan kami,” kata Badrul.

Kenal Jenama GTR Burger Buat Mereka Matikan Hasrat Berhenti Berniaga 

Cerita Badrul dan Siti Syafikah ada keunikan kerana sebelum ini mereka memang peniaga makanan, bermacam-macam jenis menu makanan mereka sudah jual.

“Kami pernah berniaga di pasar malam, kami jual sate, kami jual Yong Tau Fu sehinggalah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ke-2 kerana pada masa itu ekonomi sudah terlampau teruk, berniaga makin drop akhirnya suami kata berhenti sampai sini.

“Pada masa itu, suami sudah hampir putus asa untuk berniaga sampai kenal GTR Burger, dia sendiri rasa macam mana burgernya walaupun pada masa itu dia masih lagi was-was semacam tidak percaya dan masih tidak dapat menerima kegagalan sebelum ini, tetapi saya sebagai suri rumah saya suka untuk berniaga,” kata Siti Syafikah.

Pasangan ini mula berniaga GTR Burger dengan memilih pakej RM8250 dan mereka diberi stall, barang-barang berniaga dengan modal membeli bahan memasak dalam bentul E-Wallet RM1,400.

Bagi mereka, GTR Burger jadi pilihan kerana ia ada sistem aplikasi yang berkesan dan jenama itu mengawal produk yang dikeluarkan.

“GTR Burger kawal produknya, jika pelanggan mahukan burger mereka, mereka perlu datang ke staller untuk mendapatkannya.

“Ia boleh pergi sama jauh dengan jenama lain seperti McDonald’s dan KFC dengan syarat mereka benar-benar mengawal produk dan kualitinya,” kata Badrul.

Badrul ketika ini bekerja dengan syarikat pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di bawah jabatan juru ukur dan berniaga GTR Burger menambah pendapatan mereka sekeluarga.

Dalam banyak perniagaan yang pernah beliau lakukan, bagi Badrul jual burger jalanan yang paling disukainya.

“Dulu saya perhatikan orang jual burger, saya tanya macam mana mereka hidup dengan menjual burger, berapa untung atas burger yang dia jual, tapi bila kita dah ceburi dengan GTR Burger, barulah saya tahu kenapa ada masa penjual burger nampak rileks dan tenang,” katanya.

Bagi pasangan itu, GTR Burger bukan burger jalanan yang biasa kerana pelanggan ada banyak pilihan menu dan patty untuk dipilih mengikut citarasa mereka.

“Selain daripada pilihan harga, pilihan dari segi patty juga kerana rasa patty GTR Burger ini juga takkan didapati di tempat lain,” jelas Syafikah.

Betapa apabila hampir menyerah kalah untuk berputus asa, tetapi rasa dan potensi sesuatu produk itu mengubah kehidupan pasangan suami isteri ini. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *