December 9, 2023

Ada ikhtiar dan tidak putus asa, guna kerusi roda pun boleh dibimbing untuk berniaga burger jalanan

3 min read

Sebagai manusia Muslim, tidak kira apa sahaja rupa dan keadaan tubuh seseorang jika dia mahu berusaha mencari rezeki dengan kudratnya sendiri itu adalah yang sebaik-baiknya tanpa mengharapkan belas ihsan orang lain.

Bagaimanapun, jika ada pihak yang sentiasa bersedia menyediakan semua kemudahan untuk orang seperti itu boleh mencari rezeki, ia merupakan pelengkap kepada orang berkenaan kerana dia akan dapat mencari rezeki dengan mudah.

Tidak kira bagaimana bentuk badan atau mungkin kekurangan yang dilihat di mata manusia lain, ada insan yang tidak kenal erti putus asa atau mengalah sebaliknya terus cari jalan bagaimana mereka boleh berusaha sendiri.

Seorang peniaga burger jalanan di Maluri, yang berniaga GTR Burger Muhamad Fakhruddin Mohamed Akbar, beliau lumpuh akibat kerosakan saraf tunjang selepas mengalami kemalangan ketika berusia 19 tahun akibat terjatuh dari tingkat 6 sebuah bangunan.

Ada rasa dan kudrat mahu mencari rezeki dengan berniaga Muhamad Fakhruddin menghubungi jenama burger GTR Burger dan nyatakan keinginannya untuk berniaga, dan ia kini jadi kenyataan dengan dana dari Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

“Mula-mula saya hubungi En Nordin (Pengasas GTR Burger), selepas itu saya nyatakan keinginan dan ingin tahu bagaimana untuk memohon, kemudian dia beritahu cara-cara dan kesudian beliau untuk memohon dana dari PPZ, Alhamdulillah sekarang dah dapat.

“Saya amat berterima kasih kepada pihak MAIWP di atas usaha ini untuk membolehkan saya berniaga,” katanya.

Menariknya, GTR Burger mereka khas gerai atau stall untuk beliau mengendalikan perniagaan burger jalanan sesuai dengan pergerakannya yang menggunakan kerusi roda.

Sebelum Muhamad Fakhruddin atau lebih mesra dipanggil Faka menerima stallnya, beliau membantu dan berlatih berniaga di stall GTR Burger Bandar Baru Ampang yang dikendalikan oleh Afindi Ahmad.

GTR Burger boleh menyediakan apa sahaja bentuk stall untuk berniaga termasuk kini pakej Food Truck asalkan individu berkenaan mempunyai semangat untuk menggerakannya untuk manfaat rezeki diri sendiri.

Muhamad Fakhruddin berkomunikasi dengan pelanggan menerima pesanan burger di stall GTR Burger yang dikendalikannya di Maluri, Kuala Lumpur. – Foto SEPATAH DUA ONLINE.

Bagi Faka, beliau sedar GTR Burger memiliki satu platform berniaga yang lengkap dengan sistem kiraan untung dan rugi serta menyediakan penyata untung rugi setiap bulan.

Sekarang, beliau sudah mula berniaga sejak 11 Julai lalu di Maluri di hadapan Restoran As Safa di Jalan Mahkota.

Faka bersyukur kerana GTR Burger boleh menyediakan satu stall khas yang lebih rendah untuk beliau berniaga kerana jika stall bersaiz normal beliau tidak boleh mengendalikannya kerana menggunakan kerusi roda.

“Apabila GTR Burger boleh buat stall reka khas, ia amat mudah untuk saya bergerak dan berniaga,” kata Faka.

Menurut Faka lagi, orang ramai jika sekali pandang orang seperti beliau yang digelar OKU, mereka tidak akan menyangka OKU mampu menjual burger jalanan jadi bagi Faka beliau mahu tunjukkan OKU juga boleh berniaga benda yang sama.

“Jika ada orang seperti saya yang hendak berniaga GTR Burger, mereka boleh terus hubungi GTR Burger nyatakan keinginan dan pihak GTR Burger akan menguruskan semua urusan lain sehingga mereka boleh berniaga,” katanya.

Bercerita tentang kemalangan yang dialami, Faka berkata selepas jatuh dari bangunan, beliau masih sedarkan diri dalam perjalanan ke hospital dan hanya pengsan ketika diberikan bius di dalam bilik pembedahan.

Stall yang direka khas untuk Muhamad Fakhruddin yang rendah sedikir memudahkan pergerakan beliau untuk mengendalikan stall dengan kerusi roda. – Foto SEPATAH DUA ONLINE.

“Ketika umur saya 19 tahun, saya terlibat dalam satu kemalangan terjatuh daripada bangunan daripada tingkat 6, jadi saya dah mengalami keadaan ini lebih kurang 13 tahun,” menurutnya.

Faka merupakan satu-satunya staller dengan keadaan begini tetapi GTR Burger sentiasa membuka pintu kepada sesiapa sahaja yang mahu berniaga dan mereka boleh menyediakan kemudahan yang diperlukan untuk mereka berniaga.

Selain daripada stall, GTR Burger boleh menyediakan tempat berniaga lain sesuai dengan keperluan peniaga berkenaan.

Anda hanya perlu menghubungi GTR Burger dengan melayari laman web www.gtrburger.my untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *