Jual burger jalanan baru setahun lebih, jualan 2023 mencecah lebih RM500,000 dalam 8 bulan sahaja
4 min read
Staller dengan jualan GTR Burger 2023 paling tinggi mencecah lebih RM500,000, Muhamad Danish Izhar di hadapan stallnya di Melati Square, Nilai, Negeri Sembilan. - Foto SEPATAH DUA ONLINE.
Berniaga apa sahaja jika dilakukan dengan betul dan dengan izin Allah seseorang itu boleh diberikan pulangan rezeki yang lumayan serta wang ringgit yang banyak untuk menyara kehidupan sendiri serta boleh membantu orang lain.
Jika diperhatikan betul-betul, mungkin perniagaan makanan dan minuman boleh memberikan pulangan besar dari hasil jualan sehingga ada peniaga yang mampu menghasilkan jualan sehingga jutaan ringgit.
Sebagai contoh, ikon media sosial Khairul Aming yang begitu terkenal dengan kandungan makanan yang turut menjual produk sambal mengumumkan telah berjaya menjual 2.4 juta botol Sambal Nyetnya selepas 2 tahun dipasarkan.
Menurut beliau, dalam laporan portal Kosmo, jualan produk sambal itu sudah mencecah RM33.5 juta.
Sekarang ini, jual burger jalanan juga boleh buat duit jika dibuat dengan bersungguh-sungguh serta mengamalkan cara perniagaan yang mesra pelanggan dan sistematik.
Percaya tak, ada seorang penjual burger jalanan dengan jenama GTR Burger selepas berniaga sejak tahun lepas kini sudah berjaya mencatat jualan untuk tahun 2023 lebih RM500,000.
Peniaga GTR Burger di Nilai, Negeri Sembilan Muhammad Danish Izhar mula berniaga GTR Burger pada bulan Jun 2022 dengan gerai atau dikenali sebagai stall pertama di Melati Square, Nilai Negeri Sembilan.
Beliau berkata sebelum memilih GTR Burger, beliau meninjau dan mengenali beberapa jenama burger yang sudah ada di negara ini untuk berniaga sesuai dengan kriteria pilihannya iaitu mempunyai sistem yang boleh membantu perniagaan.
“Banyak jenama burger saya survery, termasuk GTR Burger dan saya nampak GTR Burger ni agak ‘sempoi’ sikit, saya juga merasa burger ini semua, dan saya dapati GTR Burger agak mirip dengan produk burger sebelum ini yang saya berniaga antaranya sayur-sayurnya, sesetengah burger hanya bubuh kobis, tetapi GTR ada salad, bawang dan timun.
“Pengasas GTR Burger juga baik dan sporting serta boleh memberikan bantuan serta memberikan input yang diberikan jika ditanya orang yang berminat untuk berniaga dengan GTR Burger,” kata Muhamad Danish dalam satu siaran langsung Facebook Selasa lepas.
‘Pejam Mata’ Bayar RM8250, Ambil Risiko dan Berniaga Bersungguh-Sungguh
Muhammad Danish mengakui pada ketika itu beliau tidak mempunyak sumber kewangan yang banyak tetapi buat keputusan ‘pejam mata’ dan bayar pakej berniaga dengan GTR Burger yang berharga RM8250 serta terus berniaga dan bersedia menerima apa sahaja risiko yang mendatang.
Hasil cerita ‘pejam mata’ dan bayar pakej berniaga GTR Burger, kini hasil jualan Muhammad Danish secara purata bulanan untuk stall kendalian beliau ialah RM8,000 ke atas.
“Ada stall saya boleh mencecah sehingga RM27,000, RM28,000 adalah jualan paling banyak sebulan, keuntungan GTR Burger ialah kira-kira 50 peratus, contoh jualan RM10,000, kos bahan mentah ialah kira-kira RM5,000 jadi keuntungan bersih kita RM5,000.
“Kalau jualan RM20,000 kiraan dia 50 peratus dapatlah keuntungan bersih pendapatan RM10,000,” kata Muhammad Danish.
Setakat Ogos 2023, beliau merupakan staller dengan hasil jualan GTR Burger tertinggi tahun ini untuk seluruh negara dalam misi mendapatkan RM1 juta hasil jualan pada tahun ini.
Menurutnya, tidak kira berniaga apa jenama burger pun petua untuk hasil jualan yang tinggi terletak pada kesungguhan berniaga peniaga atau tukang masa itu sendiri.
Kualiti Burger dan Perkhidmatan Bergantung Pada Peniaga Sendiri
Muhammad Danish mengambil contoh GTR Burger yang kini ada lebih 300 stall di seluruh negara dan ada pelanggan tetap yang datang ke stall beliau mengatakan bahawa ada rasa burger di stall GTR Burger yang lain mempunyai rasa yang berbeza.
“Kita (staller) kena main peranan kita kena beri khidmat kepada pelanggan sehabis ikhlas, apabila memasak hari-hari niat dalam diri saya nak masak untuk beri layanan terbaik untuk pelanggan-pelanggan saya kena ikhlas.
“Ramai macam mana pun, pelanggan ada karenah dia, jangan tunjuk riak muka yang masam, sentiasa senyum, seperti burger jenama lain, beli di sana sedap, beli di sini tak sedap, semuanya bergantung pada pengendali itu sendiri,” katanya.
Bercerita bagaimana yakin untuk pilih GTR Burger, Muhammad Danish berkata selepas membuat tinjauan dengan beberapa jenama lain, beliau dapati GTR Burger menepati citarasa jenama burger yang beliau cari.
“Jika masuk dalam perniagaan francais atau lesen jenama, kebiasaan akan ada spesifikasi atau prosedur khusus yang perlu dipatuhi dalam penyediaan makanan, kita kena ikut spesifikasi dan tak boleh lari, GTR Burger ada spesifikasi sendiri, tidak boleh menggunakan jenis sayur sesuka hati, saya suka spesifikasi sayur GTR Burger iaitu salad, bawang dan timun.
“Kemudian, GTR Burger ada menyediakan sistem yang kita boleh tahu status keuntungan kita secara tepat, status modal dan bahan mentah secara tepat dan ia boleh bantu kita untuk menguruskan banyak stall di mana-mana sahaja di negara ini,” kata Danish.
Lokasi stall-stall yang diuruskan oleh Muhammad Danish ialah di Melati Square, Nilai, Negeri Sembilan, kedua di jalan besar Nilai, Kuaters KLIA, Sepang; Seroja Hills, Salak Tinggi, Sepang, Kota Warisan, Sepang dan di Kota Masai di Johor.
Muhammad Danish berkata jika ingin berjaya dalam berniaga burger jalanan seseorang peniaga perlu ada sifat jujur dan amanah, kerana jika tiada sifat itu, berniaga amat susah untuk berjaya.
“Selain itu, ada tiga prinsip utama untuk berjaya dalam berniaga jalanan iaitu perkhidmatan, masakan dan kebersihan yang mana perkhidmatan menyentuh bagaimana cara melayan pelanggan bermanis muka kemudian, masakan yang baik dan penjagaan kebersihan kawasan berniaga dengan baik,” katanya.
Beliau berkata paling penting ialah peniaga tidak menunjukkan riak wajah penat, atau masam ketika berniaga walau ramai mana pelanggan yang ada dan berapa banyak burger yang perlu disediakan kerana riak wajah yang baik menandakan perkhidmatan yang baik kepada pelanggan.
Selain itu, kebersihan di kawasan berniaga perlu diutamakan memastikan makanan iaitu burger yang disediakan sentiasa dalam keadaan baik, bersih serta selamat dimakan.
Jikalau anda berminat untuk mula berniaga dengan GTR Burger, anda hanya perlu menghubungi GTR Burger dengan melayari laman web www.gtrburger.my untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut. – SEPATAH DUA