Pendaki Malaysia disahkan meninggal dunia akibat serangan akut gunung
1 min read
Proses menjalankan bedah siasat mayat pendaki wanita Malaysia, Tew Loo Sin, 51 tahun, yang meninggal dunia ketika menyertai misi menawan mendaki Kem Induk Annapurna (ABC) di Nepal, selesai Selasa lepas.
Jurucakap Pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia (Malawakil) di Nepal berkata, pihak hospital mengesahkan punca kematiannya ialah disebabkan serangan akut gunung.
Beliau berkata, proses pembakaran mayat juga sudah dijalankan pada hari sama dan abu mendiang diserahkan kepada rakannya, Wong Khay Chin yang mewakili ahli keluarga.
Khay Chin turut serta dalam aktiviti pendakian itu.
Katanya, Khay Chin akan hadir ke Malawakil hari ini bagi mendapatkan dokumen pengesahan kematian mendiang untuk proses membawa pulang abu mayat Loo Sin ke tanah air.
“Malawakil akan melaporkan perkembangan seterusnya setelah mendapat maklumat daripada keluarga waris,” katanya.
Berita kematian Loo Sin diterima Malawakil di Nepal, kira-kira pukul 4 petang (waktu tempatan), Isnin lepas.
Loo Sin bersama beberapa ahli kumpulan dari Malaysia dilaporkan tiba di Kathmandu, pada 1 Oktober lalu, bagi menyertai aktiviti berkenaan.
Menurut sumber, mendiang yang juga peminat aktiviti mendaki dilaporkan mengalami sesak nafas di ABC yang berketinggian 4,310 meter dari aras laut pada malam Sabtu lalu.
Wanita itu kemudian dibawa turun ke Kim Induk Machapuchare (MBC) (3,600 m dari aras laut) bagi mendapatkan bekalan oksigen.
Loo Sin yang masih bujang dilaporkan meninggal dunia pada pukul 2 pagi Ahad. Ketika kejadian, rakan mangsa ada bersama mendiang.