Syarikat MYAirline umum gantung operasi mulai hari ini ekoran tekanan kewangan
2 min read
Syarikat penerbangan tambang murah MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) umum untuk gantung operasinya bermula hari ini sehingga diberitahu kelak.
Menurut satu kenyataan, Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu memaklumkan keputusan penggantungan tersebut dibuat kerana tekanan kewangan yang menyebabkan operasi perlu digantung sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat.
“Tekanan kewangan menjadi punca keputusan sukar itu terpaksa dibuat selain menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan penjanaan semula modal syarikat itu.
“Kami amat kesal dan memohon maaf kerana terpaksa membuat keputusan ini kerana kami memahami kesannya terhadap penumpang setia kami, pekerja yang berdedikasi dan rakan kongsi.
“Kami telah bekerja tanpa jemu untuk meneroka pelbagai pilihan perkongsian dan penjanaan modal untuk mengelakkan penggantungan ini.
“Malangnya, kekangan masa menyebabkan kami tiada pilihan selain mengambil keputusan ini,” menurut kenyataan itu.
Pihak MYAirline untuk menasihatkan penumpang yang terjejas supaya tidak ke lapangan terbang tetapi perlu mencari alternatif lain untuk ke destinasi mereka.
“Lembaga Pengarah, pemegang saham dan semua kakitangan MYAirline akan bekerja tanpa jemu untuk menyambung semula operasi secepat mungkin tetapi pada peringkat ini kami tidak dapat komited pada sebarang garis masa.
“Kami sekali lagi mengulangi permohonan maaf atas sebarang kesulitan yang timbul daripada penggantungan ini dan akan melakukan yang terbaik untuk memaklumkan sebarang kemas kini sekiranya ada,” katanya.
Pelanggan yang berdepan sebarang masalah boleh menghubungi customercare@myairline.my untuk mendapatkan bantuan sokongan.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke semalam enggan mengulas ketika ditanya berhubung ura-ura peralihan pemilikan membabitkan MYAirline Sdn Bhd.
“Saya tidak tahu sama ada mereka (MYAirline) mahu jual atau apa pun kerana mereka belum lapor pada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).
“Mereka harus datang kepada kita (jika ada masalah) baru kita lihat apa masalah dan kita akan cuba bantu.
“Kalau ada pertukaran pemegang saham atau sebagainya mereka perlu lapor pada Mavcom tetapi setakat ini tiada, jadi saya tak mahu komen,” katanya pada sidang media Mesyuarat Majlis Konsultasi Penerbangan Negara (NACC) semalam.
Sebelum ini, media melaporkan syarikat penerbangan tambang rendah itu dipercayai akan menerima pelabur baharu yang berpotensi menyelesaikan masalah kewangan yang melanda MYAirline.
Perkara itu susulan peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif MYAirline Rayner Teo yang berkuat kuasa 7 Oktober 2023 kerana masalah kesihatan.