Wisma Putra akan usahakan bawa keluar rakyat Malaysia dari Semenanjung Gaza
1 min read
Asap kelihatan di Semenanjung Gaza ekoran serangan bom oleh rejim Zionis Israel ke atas Palestin. - Foto AFP.
Pihak Kementerian Luar atau Wisma Putra sedang mengusahakan proese untuk membawa pulang seorang doktor rakyat Malaysia yang kini sedang berada di Semenanjung Gaza di Palestin.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, usaha itu kini sedang digerakan dengan kerjasama dengan Kedutaan Filipina di sana.
“Sehingga kini, ada lima rakyat Malaysia berada dalam laporan kita iaitu seorang ibu dengan tiga anak yang memegang pasport Malaysia yang dilaporkan berada dalam kawasan konflik.
“Kedutaan besar Malaysia sudah dapat hubungi juga seorang doktor iaitu Dr Nurul Ain Latif yang berasal dari Kota Bharu dan sudah berkahwin dengan warga Palestin.
“Keadaan mereka (Dr Nurul Ain) berada di tempat selamat. Kita juga sedang berusaha melakukan proses evakuasi untuk Dr Nurul Ain Latif. Sehingga kini, kita mendapat kerjasama kedutaan Filipina untuk mengeluarkan keluarga ini bersama lapan warga Indonesia yang berada di kawasan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Tuan Tan Hong Pin (Bakri) pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.
Semalam, Wisma Putra sahkan ada lima orang rakyat Malaysia iaitu seorang wanita dan seorang ibu bersama tiga anaknya berada di Tebing Barat ketika ini, dengan Kedutaan Besar Malaysia di Amman sentiasa berhubung dengan mereka.