February 24, 2024

Selepas viral, kini jualan penjual burger jalanan Faka Hero cecah lebih RM1,000 sehari

2 min read

Penjual Burger Jalanan GTR Burger, Faka di stall kendaliannya di Maluri, Kuala Lumpur yang kini mula dikenali ramai selepas viral di media sosial baru-baru ini. - Foto SEPATAH DUA ONLINE.

Kalau dulu jualan burger jalanan bagi penjual GTR Burger, Muhamad Fakhruddin Mohamed Akbar, sejak mula menjual burger 11 Julai lepas hanya sekitar RM100 sahaja setiap hari tetapi selepas mendapat liputan meluas media sosial baru-baru ini, kini jualannya sudah mencecah lebih RM1,000.

Bukan itu sahaja, jika sebelum ini beliau yang lebih mesra dipanggil dengan nama Faka Hero menguruskan gerai burgernya berseorangan, kini beliau sudah mengupah seorang pekerja untuk membantunya menguruskan gerai burger setiap hari.

Faka berniaga burger di Maluri di hadapan Restoran As Safa di Jalan Mahkota.

Pada 5 November segala-galanya berubah untuk Faka apabila seorang pengguna Facebook dengan nama Syahrezza Amir berkunjung ke stall burger beliau untuk membeli burger.

Kemudian beliau membuat satu hantaran menceritakan tentang Faka yang berniaga burger walaupun beliau seorang OKU dan bergerak menggunakan kerusi roda tetapi mampu menguruskan stall burger tanpa sebarang masalah.

Faka berkata kalau dulu burger yang laku tidak habis pun 1 pek roti iaitu kira-kira 40 biji, tetapi sekarang beliau sudah mampu menjual 2 pek roti iaitu kira-kira 80 biji untuk sehari.

“Sebelum viral, 20 biji sahaja roti yang laku sehari, selepas viral dua beg roti saya berjaya jual dalam sehari maksudnya dalam 80 biji,” katanya.

Selepas, kisah tentang stall burgernya tular, Faka jadi buruan portal-portal media dan platform media sosial untuk ditemubual untuk menulis bahan berita tentang dirinya.

Antaranya platform media Mstar Online, Harian Metro, KL Foodie dan New Straits Times.

Kisah Faka turut tular apabila pengguna Facebook kebanyakannya berkongsi hantaran orang lain sehingga menyebabkan ia viral.

“Selepas viral, banyak influencer yang datang, satu daripadanya ialah KL Foodie dan ada lagi beberapa yang lain, ada juga yang datang untuk beli burger untuk diberikan secara percuma kepada orang ramai,” katanya.

Menurutnya, kini beliau terpaksa mengupah seorang pembantu kerana cara pengendalian stall burger beliau sudah berubah kerana pelanggan semakin ramai.

“Sekarang ada masanya orang datang serbu kedai burger saya,” ujarnya.

Faka berkata ada ketikanya kira-kira 15 hingga 20 orang ada berkumpul dan beratur di hadapan stall burgernya.

Sekarang, Faka sudah mula menjalankan program infaq burgernya sendiri yang diserahkan kepada rumah OKU, rumah anak yatim dan rumah kebajikan setiap minggu pada hari Jumaat.

“Dua minggu lepas, kita hantarkan infaq burger ke rumah anak yatim, minggu lepas burger dihantar ke rumah orang-orang tua dan hujung minggu ini In Sha Allah burger akan dihantar ke rumah OKU pula,” katanya.

Beliau juga pada setiap hari menyediakan 10 biji burger untuk diberikan secara percuma kepada OKU dan asnaf di stallnya.

Faka berkata beliau sebenarnya sudah lama berharap agar stall burgernya viral dan dikenali ramai kerana jualan sebelum ini baginya amat sendu tetapi beliau tidak berputus asa sebaliknya pernah mengatakan bahawa “putus asa itu haram,” bagi dirinya.

Faka menjual burger dengan menggunakan stall khusus yang direka khas untuknya bagi memudahkan pergerakannya ketika berniaga dengan menggunakan kerusi roda dan beliau berniaga dengan dana dari Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Faka lumpuh akibat kerosakan saraf tunjang selepas mengalami kemalangan ketika berusia 19 tahun akibat terjatuh dari tingkat 6 sebuah bangunan ketika bekerja. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *